Friday 26 December 2008

Iktibar Kematian..

Malam semalam, aku menerima sms daripada seorang rakan mengatakan :" Lukman Mutalib telah kembali ke rahmatullah kerana mengidap kanser di Hospital UM.. semoga rohnya dicucuri rahmat"

Mulanya, otak berputar cuba mengingati nama itu dan akhirnya teringat, Lutfi Mutalib ada adik sama belajar di UIA.. Allahyarham Lukman Mutalib.. Al-Fatihah.

Dalam tempoh sebulan, aku menerima 3 berita kematian orang yang terdekat dan dikenali. Sepupu sebelah arwah ayah, Allahyarhamah Rosinah, Bapa saudara sebelah emak, Allahyarham Ustaz Muhyiddin dan semalam rakan seperjuangan yang muda setahun Allahyarham Lukman. Setiap daripada mereka ada cerita tersendiri dan pastinya menyentuh hati kecil seorang insan.

Allah SWT telah menjanjikan bahawa apabila datang waktu itu, tidak akan terawal walau sedetik dan tidak akan terlewat walau sedetik, iaitu kematian.. Samaada muda, tua, sakit atau sihat, apabila tiba malaikat Maut, maka tiada siapa dapat menolaknya.

Arwah sepupu, memang mengidap barah payu dara sejak bertahun-tahun tetapi dapat bertahan dengan perubatan tradisional. Sihat dan mampu ke sana-sini meguruskan perniagaannya. Tapi sehari sebelum kematian, arwah kena serangan jantung dan koma sebelum meninggal dunia.

Arwah Pak Lang, sempat mengimamkan solat Isya' (sama dengan arwah ayah), pergi ke Forum Perdana sendirian menaiki motor sebab Maklang penat, tak nak ikut.. kemudiannya pulang awal sebab kepenatan dan sakit dada. Lewat malam itu, arwah sesak nafas dan menghembuskan nafas terakhir di hospital Parit Buntar ditemani Paklong Ustaz Hassan Abrar.

Begitulah putaran hidup manusia daripada satu alam ke alam yang lain kita berpindah dan dunia hanyalah sebagai persediaan ke Alam Akhirat. Dengarkanlah lagu Menanti di Barzakh daripada kumpulan Far-East berulang kali agar kita lebih memahami kedudukan kita sebagai hamba Allah yang punya tanggungjawab untuk dilaksanakan. Juga akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Ingatlah, tanpa diketahui sihat atau sakit, tua atau muda, kaya atau susah tidak akan terlepas daripada saat itu.. Laksanakan suruhan Allah tidak mengira masa. Bekerjalah seolah kamu akan hidup selamanya dan Beramal lah seolah kamu akan mati esok hari.