Monday 19 January 2009

Anak-anak dilahirkan bersih seperti kain putih...


Beberapa hari lepas, sedang aku update blog, azan di komputer berkumandang. Maryam yang sedang duduk-duduk main terus angkat kedua-dua tangan di telinga.
Itu adalah tindakan spontan bayi yang berumur 1 tahun 2 bulan. Hanya melalui pemerhatian di tv, dia tahu azan menyeru umat Islam untuk menunaikan solat...
Kukhabarkan perkara itu kepada Abg Azam dan dia bertanyakan soalan mudah kepada 'Aisyah. Jawapannya baru sekali diajar tetapi terus diingati dengan mudah. Dia 'test' sekali tindakan refleks Maryam bila dengar azan.

Benarlah, anak-anak dilahirkan fitrahnya bersih dan putih. Terpulang kepada ibubapanya yang mencorakkannya menjadi seorang yang soleh dan solehah atau sebaliknya. Ingatlah, betapa besarnya tanggungjawab ibubapa yang memikul tugas mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang sebenar...

Teringat kata pesanan di cenderahati hari keluarga untuk anak2 saudara yang cemerlang UPSR..'belajaq pandai-pandai, sembahyang jangan tinggai'...

Tepat sekali pesanan tu, sesuai setiap masa dan ketika.

Wednesday 14 January 2009

Nyamuk oh nyamuk...

Nyamuk oh nyamuk, kenapa engkau banyak.. ? Macamana aku tak banyak, air bertakung pun banyak....

Malam tadi, rumahku seperti diserang nyamuk. Habis berbintat-bintat tangan dan kaki Maryam dan Aisyah. Aku yang tua ni tak apalah tahan. Kalau budak-budak, tak lena tidur dibuatnya. Dah disembur dengan racun serangga pun macam tak lut..

Aduhai... dah dibuat semburan kabus, tapi macam tak ada kesan. Kulihat sekeliling... Rumahku dah dijaga dan dibuang tempat pembiakan nyamuk. Tapi macamana dengan jiran sekeliling. aduuh.. siapa yang nak tolong tegur. Semuanya berpelajaran. Di TV dah banyak kempen ditonton. Semburan kabus banyak kali dibuat. Tapi tak sedar juga. Kalau kena denggi kan susah.

Dah dewasa dan matang ni, 'sendiri mau ingat la'.....

Thursday 8 January 2009

Doakanlah mereka..

Sedih, pilu melihat wajah-wajah syuhada' yang terpampang di dada akhbar dan televisyen setiap hari.. Jasad-jasad yang tidak berdosa telah menjadi korban keganasan rejim Israel yang tidak berperikemanusiaan.

Semalam, sekolah yang dilindungi United Nation pun turut dibedil dan mengorbankan 48 orang. Kasihannya mereka..

Apa yang perlu kita lakukan.. Berdoalah tanpa henti. Mohonlah kepada Allah SWT agar mereka ini diberi perlindungan dan berikanlah balasan yang setimpal kepada pengganas sebenar di bumi Gaza. Amiin..

Wednesday 7 January 2009

Makan Angin...

Cuti yang panjang baru-baru ni sempat juga kami sekeluarga manfaatkan dengan bercuti makan angin ke beberapa tempat berdekatan di dalam negara kita ni. Termasuk juga balik ke kampung menziarahi ibubapa dan kaum keluarga.

Antara cuti-cuti tersebut, kami juga menerima kunjungan saudara-mara yang datang bercuti ke Putrajaya dan Lembah Klang. Keluarga K.Mah dari Machang Bubok ke Putrajaya. Dari kiri, Maryam, Cik An, Aisyah, Asma', Sarah, Asfarina. Belakang, Nurul, Amalina, K.Mah dan Syakir








Keluarga abg Badli (imam Masjid Kampar) di rumah kami dan di hadapan Masjid Putra .. gambar kanan: dari kiri- Sarah Syahira, Kak Norie, Abdul Nafi', Abg.Badli, Umair, 'Asim, Zaid dan di depan, Aisyah Syafiqah dan 'Aisyah Huda (anak kami)



Masa mak datang ke rumah anak-anak di Semenyih dan Putrajaya, kami sempat bawak mak ke pantai Bagan Lalang. Dah lama mak tak ke tempat macam ni.. Asalnya nak bawak ke Bukit Fraser, tapi mak taknak sebab takut penat dan muntah. Alhamdulillah mak tak ikut sebab memang jalannya bengkang-bengkok dan kami yang tahan ni pun mabuk dibuatnya.

Menikmati suasana petang di pantai Bagan Lalang





Percutian ke Bukit Fraser pulak asalnya cuma dirancang sehari tanpa bermalam. Tapi dah nak jadi rezeki kami anak beranak, ada bilik kosong di Rumah Peranginan Persekutuan. Jadinya tak jadi kami balik ke Putrajaya... Malam tu kami merasa kesejukan menggigit tulang sampai ke pagi..Grrr












'Aisyah sempat melaram rambut palsu Hanany (anak cu Kimi dan Maksu Miza) he..heh..comelnya





Dari kiri, Zulfadhlain (di hari cukur jambul anak kembar 3), Abg.Azam, Abah (Hj.Abdullah) dan Kawan abah.











'Aisyah, Sarah dan Asma' di hadapan Kellie's Castle











Haaa... ada pun Iqbal.. Kami sempat ziarah Makngah Huzaimah dan Pakngah Wahab di Batu Gajah






Tuesday 6 January 2009

Hargai mereka..

Jumaat lepas bertarikh 2 Januari 2009, kita dikejutkan dengan berita sedih kemalangan membabitkan kemalangan maut 10 nyawa di Kelantan, termasuk seorang ibu bersama 3 orang anak dan seorang adiknya. Manakala seorang lagi anaknya berumur 1 1/2 tahun,cedera parah.

Menurut ceritanya, Almarhum Hasliza dalam perjalanan untuk menghantar anak sulung mereka ke rumah nenek mereka sebelum balik ke asrama Sekolah Menengah Tawang. Mereka juga dalam perjalanan membeli persiapan persekolahan bagi sesi 2009.

Hati mana yang tidak sedih dan sayu, menerima berita kehilangan bukan satu, malah 4 orang tersayang sekaligus. Namun, menangis airmata darah sekalipun tidak akan dapat mengembalikan mereka ke sisi kita.

Mengimbas kisah ini terdetik di hatiku, apakah pengajaran yang patut kita ambil daripada peristiwa ini.

Selain mengulangi peringatan tentang keselamatan jalanraya, ada lagi yang tidak pernah kita fikirkan.. Hargai insan tersayang di sisi kita selagi mereka ada, sihat mahupun sakit. Isteri, suami, anak-anak, ibubapa, rakan-rakan dan saudara-mara.

Almarhum Hasliza adalah gambaran wanita zaman ini yang melakukan semuanya untuk keluarga. Daripada menjaga anak-anak, memasak, mencuci, mengurus rumahtangga, ke pasar, menghantar dan mengambil anak ke sekolah, hatta memandu sendiri bagi menghantar anak pulang ke asrama. Wanita sekarang lebih berjiwa waja dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan keluarga. Tanpa alasan...Bagi yang bekerjaya, pasti, tugas yang dipikul lebih berat.
Itulah yang aku lihat di sekeliling kita..

Namun setakat manakah semua ini dihargai samada oleh suami mahupun anak-anak? Bukan balasan yang dipinta cuma, luangkanlah lebih masa bersama insan tersayang yang diciptakan untuk kita. Para isteri luangkanlah lebih masa bersama suami, dan suami, luangkanlah lebih masa bersama isteri dan anak-anak.

Makan bersama, solat bersama, beriadhah bersama, menonton bersama dan membeli-belahlah bersama. Jika kita sanggup meluangkan masa yang lama bersama rakan sepejabat, mengapa tidak dengan keluarga sendiri?

Janganlah bila terlewat, baru timbul penyesalan. Hitunglah masa yang ada sekarang, sebelum kita menghitung kerugian kita di kemudian hari.

Wallahu A'lam.