Tuesday 6 January 2009

Hargai mereka..

Jumaat lepas bertarikh 2 Januari 2009, kita dikejutkan dengan berita sedih kemalangan membabitkan kemalangan maut 10 nyawa di Kelantan, termasuk seorang ibu bersama 3 orang anak dan seorang adiknya. Manakala seorang lagi anaknya berumur 1 1/2 tahun,cedera parah.

Menurut ceritanya, Almarhum Hasliza dalam perjalanan untuk menghantar anak sulung mereka ke rumah nenek mereka sebelum balik ke asrama Sekolah Menengah Tawang. Mereka juga dalam perjalanan membeli persiapan persekolahan bagi sesi 2009.

Hati mana yang tidak sedih dan sayu, menerima berita kehilangan bukan satu, malah 4 orang tersayang sekaligus. Namun, menangis airmata darah sekalipun tidak akan dapat mengembalikan mereka ke sisi kita.

Mengimbas kisah ini terdetik di hatiku, apakah pengajaran yang patut kita ambil daripada peristiwa ini.

Selain mengulangi peringatan tentang keselamatan jalanraya, ada lagi yang tidak pernah kita fikirkan.. Hargai insan tersayang di sisi kita selagi mereka ada, sihat mahupun sakit. Isteri, suami, anak-anak, ibubapa, rakan-rakan dan saudara-mara.

Almarhum Hasliza adalah gambaran wanita zaman ini yang melakukan semuanya untuk keluarga. Daripada menjaga anak-anak, memasak, mencuci, mengurus rumahtangga, ke pasar, menghantar dan mengambil anak ke sekolah, hatta memandu sendiri bagi menghantar anak pulang ke asrama. Wanita sekarang lebih berjiwa waja dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan keluarga. Tanpa alasan...Bagi yang bekerjaya, pasti, tugas yang dipikul lebih berat.
Itulah yang aku lihat di sekeliling kita..

Namun setakat manakah semua ini dihargai samada oleh suami mahupun anak-anak? Bukan balasan yang dipinta cuma, luangkanlah lebih masa bersama insan tersayang yang diciptakan untuk kita. Para isteri luangkanlah lebih masa bersama suami, dan suami, luangkanlah lebih masa bersama isteri dan anak-anak.

Makan bersama, solat bersama, beriadhah bersama, menonton bersama dan membeli-belahlah bersama. Jika kita sanggup meluangkan masa yang lama bersama rakan sepejabat, mengapa tidak dengan keluarga sendiri?

Janganlah bila terlewat, baru timbul penyesalan. Hitunglah masa yang ada sekarang, sebelum kita menghitung kerugian kita di kemudian hari.

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment